Tuesday, November 18, 2008
Firman ALLAH dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya) Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
Antara ulama tafsir yang memberikan tafsiran yang teliti tentang maksud al-Tajassus dalam ayat ini ialah al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H). Beliau menafsir maksud ayat wala tajassasu (jangan kamu mengintip) tersebut: “Ambil apa yang nyata, jangan kamu mencari-cari keaiban kaum muslimin, iaitu jangan kamu cari keaiban saudaramu untuk kamu melihatnya setelah ALLAH menutup”.
Bahkan Syaikh al-Mufassirin, Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) sebelum itu telah menghuraikan dengan jelas maksud ayat ini. Antaranya: wala tajassasu bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya. Nilailah dia atas asas tersebut sama ada baik atau buruk. Jangan kamu mencari kesalahannya. Kata Ibn ‘Abbas: “ALLAH melarang orang mukmin daripada mencari keburukan-keburukan mukmin yang lain.
0 comments:
Post a Comment